Saturday, 5 November 2016





BUBUR JAGUNG SAGU



Kalau dulu saya tidak pernah makan bubur jagung , kini bubur jagung ini lah yang kerap kali saya minta ibu saya buatkan . Ianya bukan hanya kerana bubur ini sedap tapi ia juga mudah untuk dibuat berbanding bubur-bubur yang lain. Kalau terfikir nak buat makanan sampingan atau dessert , boleh la cuba resepi ini .


Bahan-bahan
2 tongkol jagung / 1 kg jagung yang siap pipil
Santan
3/4 cawan air (bergantung kepada santan)
Gula tuak / gula melaka
Gula pasir
1/2 cawan biji sagu
Daun pandan
Garam

Cara-cara memasaknya
1. Didihkan air di dalam periuk
2. Masukkan biji sagu , gaul-gaulkan sedikit sehingga biji sagu tersebut kembang.  Asingkan sagu yang telah kembang ke dalam bekas lain. Biarkan sementara
3. Periuk yang sama, masukkan santan , gula tuak/gula melaka ,gula pasir , jagung serta daun pandan , gunakan api yang kecil , kacau dan dibiarkan sehingga mendidih .
4. Masukkan sagu yang diasingkan sebentar tadi ke dalam bubur jagung tersebut , jangan lupa letakkan sedikit garam sebagai penambah rasa.


Siap ! Mudahkan ? Selamat mencuba .






KUPANG MASAK TIGA RASA



Makanan ini merupakan salah satu makanan yang menjadi favourite keluarga saya . Walaupun saiz kupang lebih besar berbanding kerang , tapi untuk memasaknya tidak susah bagi ibu saya yang gemar memasak. Jadi saya mengambil keputusan untuk mencuba resepi ini , agar saya juga boleh memasak seperti ibu saya . Jujur saya katakan tak mudah pada mulanya sebabkan saiz dan kuantitinya , tapi saya tetap mencuba kerana saya penggemar makanan seafood . Jadi , bagi penggemar seafood seperti saya , boleh la cuba resepi ini .

Bahan-Bahan
1 kg kupang (yang segar lebih sedap)
Cili kering kisar
Sebiji bawang besar
2 ulas bawang putih
Serai
Halia
Sos Tiram
Sos Tomato
Sos cili
Garam
Gula

Cara-cara menyediakan bahan
1. Kupang segar dibasuh bersih
2. Asingkan 1 setengah senduk cili kisar (kalau nak letak lebih boleh jugak)
3. Bawang besar , bawang putih dan halia ditumbuk hancur atau diblen
4. Sebatang serai ditumbuk sedikit hujungnya
5. Asingkan setiap sos 2/3 sudu


Cara-Cara memasak
1. Panaskan minyak terlebih dahulu, kemudian tumiskan bahan-bahan yang ditumbukatau diblen serta serai tadi hingga naik bau
2. Masukkan cili kisar , kacau sehingga hampir masak
3. Masukkan ketiga-tiga jenis sos tadi serta kupang segar yang telah di basuh bersih . Jangan lupa untuk letak garam dan gula secukup rasa .
4. Gaulakan kupang berkenaan sehingga cengkerang kupang itu terbuka. Kemudian boleh padamkan api dan hidang

Tak susah pun sebenarnya . hihihi Selamat mencuba .






GULAI TEMPOYAK PUCUK UBI CAMPUR PETAI






Hari ini kita beralih kepada selera kampung sikit iaitu Gulai Tempoyak Pucuk Ubi campur petai . Untuk pengetahuan semua gulai tempoyak suatu ketika dahulu merupakan salah satu makanan wajib dihidangkan di majlis-majlis seperti majlis perkahwinan serta kenduri kendara . Tapi sayang , zaman sekarang tak ramai anak-anak muda sukakan gulai tempoyak mungkin kerana baunya ataupun bahannya , maka disebabkan itu susah sekali kita nak cari gulai ini di kedai-kedai makan yang menghidangkan nasi berlauk.

Jadi hari ini saya ingin kongsikan resepi tempoyak pucuk ubi campur petai .
 
Bahan-bahan
Pucuk Ubi
Daun kunyit
Serai
Petai
Tempoyak
10 Biji Cili Api
Kunyit hidup
Anak ikan (ikan bilis)
Pati Santan
Garam

Cara menyediakan bahan
1. pucuk ubi , daun kunyit , serai dihiris halus
2. Petai diasingkan dari kulitnya .
3. Cili Api dan Kunyit hidup ditumbuk lumat manakala anak ikan (ikan bilis) dihentak-hentak kan sedikit sahaja .


Cara-cara memasak
1. Masukkan santan serta bahan-bahan yang ditumbuk termasuk anak ikan (ikan bilis) ke dalam kuali , kacau supaya sebati sehingga mendidih
2. Kemudian , masukkan pula bahan-bahan yang dihiris , kacau sehingga bahan hirisan kelihatan mula mengecut
3. Masukkan tempoyak dan garam secukup rasa , kacau sehingga mendidih dan masak .

Mudah je kan? Jadi tiada alasan untuk kita lupakan makanan tradisi ini . Selamat mencuba...






Asam Pedas Melaka.






Saya berkeinginan menulis resepi Asam Pedas Melaka kerana saya memang berasal dari melaka dan ingin perkenalkan keunikan makanan tempatan yang terkenal di melaka seperti yang sedia maklum. Jika dilihat di dalam menerusi bermacam-macam blog, terdapat pelbagai resepi dan cara makanan atau lauk ini di sediakan. Maka saya juga mengambil keputusan untuk berkongsi resepi bagaimana bonda tercinta saya menyediakan hidangan ini .

Hidangan untuk sekeluarga ( 6-7 orang )

Bahan-bahannya :
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
2 batang serai
Halia
Kunyit Hidup
Belacan
Cili mesin
Ikan ( tak kisah ikan apa-apa )
Bendi
Air Asam Jawa

Bahan untuk dikisar / ditumbuk :
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
Halia
Kunyit hidup
Belacan
Serai (ditumbuk sedikit )

Cara-cara memasak :
1. Panaskan minyak terlebih dahulu
2. Tumiskan bahan-bahan yang dikisar atau ditumbuk tadi. Tumis sehingga agak garing dan naik bau
3. Sesudah itu masukkan pula cili mesin anggaran 1 setengah sudip sahaja. Kacau sehingga cili hampir masak .
4. Selepas itu , masukkan perahan air asam jawa perlahan , seeloknya ditapis bagi mengelakkan asam jawa tersebut termasuk sekali di dalam kuah tersebut .
5. Kacaukan bagi sebati cili dengan air asam tersebut , dan biarkan sehingga mendidih
6. Sesudah mendidih, masukkan ikan , daun limau perut dan bendi (yang telah di basuh ) , serta garam dan juga gula .
7. Biarkan kuah sehingga mendidih , kemudian tutupkan api gas . Jangan risau kalau ikan tak masak , bila kuah dah mendidih bererti ikan yang kita masukkan tadi juga telah masak.


Siap sudah makanan tempatan , Asam Pedas Melaka . Senangkan ? Selamat mencuba .





                    AYAM MASAK LEMAK CILI API




Ayam masak lemak cili api merupakan salah satu makanan kegemaran saya . Jadi saya telah mempelajari cara untuk memasak lauk ini daripada bonda tercinta saya. Cara memasaknya mengikut cara bonda saya cukup simple , bagi saya yang tak pandai masak boleh jadi pandai sebab cara masaknya cukup mudah . Jadi hari ini saya ingin kongsikan kepada anda resepi ayam masak lemak cili api cara mudah tapi tetap menjadi dan sedap. Bagi student yang tak banyak masa untuk memasak , bolehlah cuba resepi ini .

BAHAN-BAHAN

Seekor ayam - di potong 14
10 biji cili api - di kisar (kalau nak pedas boleh tambah lagi)
Serbuk kunyit
Garam
Daun kunyit
Santan kelapa
2 biji kentang - dipotong 4

CARA-CARA MEMASAK

1. Sementara menunggu minyak panas , Ayam yang telah dibasuh bersih , digaul dengan sedikit serbuk kunyit dan garam untuk di goreng separuh masak .

2. didihkan cili api yang telah dikisar ke dalam periuk serta masukkan sedikit serbuk kunyit untuk menampak kekuningan untuk lauk kita nanti. Jangan lupa masukkan sekali daun kunyit yang telah di basuh dan disiat ke dalamnya serta kentang untuk mengelakkan kentang lambat empuk.

3. Sesudah itu , masukkan santan dan ayam yang digoreng separuh masak tersebut ke dalam didihan cili api tadi , kemudian gaulkan kesemuanya bagi sebati .

4. Kacau sehingga kentang empuk dan terbit minyak pada kuah kita, kemudian boleh padamkan api .

Peringatan ! Lauk yang menggunakan santan harus sentiasa di kacau untuk mengelakkan kuahnya bergentel .


Senangkan ?  Selamat Mencuba .